HIGUAIN melonjak kegembiraan selepas menjaringkan gol pertama Chelsea menentang Huddersfield di London, malam ini. - FOTO Reuters
Agensi

GONZALO Higuain dan Eden Hazard masing-masing menyumbang dua gol untuk membantu Chelsea bangkit membelasah Huddersfield Town 5-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London, malam ini.

Higuain, penyerang Argentina yang dipinjamkan dari Juventus ketika jendela perpindahan musim sejuk baru-baru ini, membuka tirai jaringan pada minit ke-16 selepas menerima hantaran pemain tengah N’Golo Kante.

Hazard menggandakan kedudukan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama. Penalti itu diberikan pengadil Paul Tierney selepas kapten Blues, Cesar Azpilicueta dikasari Elias Kachunga dalam kotak penalti.

Chelsea, yang kecewa apabila tewas besar 0-4 di tangan Bournemouth pada pertengahan minggu, melupakan kekalahan terbesar liga sejak 1996 itu apabila Hazard meledak masuk hasil lorongan cantik Ross Barkley pada minit ke-66.

Tiga minit kemudian, Higuain, yang gagal beraksi baik di kelab pinjaman sebelum ini AC Milan, menambah derita pelawat apabila dia sekali lagi menyempurnakan hantaran Kante dengan rembatan yang terbias ke penjuru kanan pintu gol lawan.

Tidak cukup dengan empat gol, Chelsea menambah gol kelima menerusi pertahanan Brazil, David Luiz yang menanduk masuk sepakan sudut Willian empat minit sebelum tamat.

Keputusan itu membolehkan Chelsea kembali merampas kedudukan tangga keempat daripada Arsenal dengan 50 mata, 11 mata di belakang pendahulu Liverpool. Arsenal akan bertemu juara bertahan Manchester City malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 1:03 AM