REAKSI Higuain selepas menjaringkan gol di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - FOTO AFP
AFP

LONDON: “Apabila Higuain tiba dia tidak berada di tahap fizikal terbaiknya. Sekarang dia semakin bagus. Selain gol itu, saya rasa dia sangat sesuai bermain rapat dengan Hazard,” kata pengurus Chelsea, Maurizio Sarri selepas penyerang baharu Chelsea itu mencipta gol pertama buat kelabnya ketika membelasah Huddersfield 5-0, awal pagi tadi.

Bos Blues, Sarri berdepan tekanan selepas Chelsea menderita kekalahan terbesar dalam Liga Perdana dalam tempoh 23 tahun apabila tewas 4-0 di tangan Bournemouth Rabu lalu.

Di sebalik laporan mengatakan pengendali dari Itali berdepan bahaya dipecat kurang setahun selepas dilantik, dia terhutang budi dengan rakan lamanya, Higuain yang kembali menghidupkan suasana di Stamford Bridge.

Higuain yang dipinjam dari Juventus atas permintaan Sarri selepas meraikan tempoh bersama yang berjaya di Napoli, membuka ‘akaun’ lebih awal pada babak pertama kemenangan terbesar Chelsea musim ini.

Ia permulaan persembahan berpengaruh daripada pemain Argentina itu dengan Hazard bebas kembali ke peranan disukainya di sayap selepas beberapa ketika di depan, Chelsea tampak lebih hidup.

“Bagi kami ia sangat berguna, bagi Higuain, dia boleh menjaringkan banyak gol, tapi ia juga bagus untuk Eden,” katanya.

Penalti kontroversi Hazard menggandakan kelebihan Chelsea sebelum tamat babak pertama apabila pengadil Paul Tierney mengatakan Cesar Azpilicueta dikasari dalam kotak penalti walaupun kesalahan itu sebenarnya dilakukan di luar.

Ia memberikan nasib yang baik buat Sarri yang diikuti gol oleh Hazard, Higuain dan David Luiz selepas rehat dengan Chelsea menamatkan dua kekalahan berturut-turut dalam liga.

“Kami bermula dengan sangat bagus. Pada 20 hingga 25 minit pertama saya melihat gaya permainan saya. Kami menggerakkan bola dengan sangat cepat,” kata Sarri.

“Tapi kita perlu faham bahawa kami tidak perlu tewas perlawanan untuk mendapatkan motivasi.”

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 7:38 AM