RONALDO (kiri) kecewa selepas Parma menjaringkan gol penyamaan. - FOTO AFP
RONALDO (kiri) kecewa selepas Parma menjaringkan gol penyamaan. - FOTO AFP
AFP

MILAN: Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol tetapi Juventus terpaksa berkongsi mata selepas jaringan lewat Gervinho membolehkan Parma bangkit mengikat keputusan 3-3 dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.

Keputusan itu membolehkan Napoli merapatkan jurang kepada sembilan mata selepas menewaskan Sampdoria 3-0.

Skuad Massimiliano Allegri tampak masih belum pulih daripada kejutan selepas hasrat menjuarai Coppa Italia buat kali kelima berturut-turut dinafikan Atalanta selepas tewas 3-0.

Keputusan seri itu bukan sesuatu dimahukan Allegri menjelang aksi peringkat pertama saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid pada 20 Februari.

Juve yang dilanda kemelut kecederaan pertahanan seperti Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini dan Andrea Barzagli kini melepaskan enam gol dalam dua perlawanan.

Tetapi mereka masih kekal selesa dengan jurang sembilan mata di hadapan Napoli dan 20 mata meninggalkan Inter Milan di tempat ketiga.

"Ia tidak merubah apa-apa tetapi kami tak boleh mengambil mudah,” kata Allegri.

"Kami rapuh di bahagian pertahanan dan ini kali pertama empat pertahanan beraksi bersama.”

Juventus membariskan pemain kurang berpengalaman di bahagian itu dengan Leonardo Spinazzola beraksi bersama pertahanan Uruguay Martin Caceres yang beraksi kali pertama dalam kesebelasan utama sejak berpindah dari Lazio.

Percubaan Sami Khedira dua kali terkena tiang sebelum Ronaldo menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-36 dan Daniele Rugani pada minit ke- 62.

Parma mendapat gol pertama melalui tandukan Antonino Barilla dua minit kemudian sebelum Ronaldo sekali lagi menembusi gawang lawan untuk kembali muncul penjaring terbanyak Serie A dengan 17 gol.

Tetapi Gervinho menghukum kealpaan pertahanan tuan rumah apabila menjaringkan gol pada minit ke-74 dan pada lewat permainan membolehkan Parma meraih 31 mata dan kekal di tempat ke-12, 31 mata di belakang Juventus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 7:59 AM
Digital NSTP Subscribe