KIKI gembira selepas menewaskan Donna. FOTO/AFP
AFP

SAINT PETERSBURG: Pilihan kedua dari Belanda Kiki Bertens terpaksa bekerja keras ketika bertarung dengan pemain Croatia Donna Vekic untuk menjulang gelaran WTA St Petersburg awal pagi tadi.

Pemain berusia 27 tahun itu melakukan lapan aces untuk menang 7-6 (7/2), 6-4 dalam tempoh satu jam 43 minit dan merekodkan kemenangan pertama ke atas Donna dalam pertemuan keempat mereka.

“Alangkah hebat berada di sini. Minggu yang hebat dan saya berharap dapat kembali ke sini tahun depan untuk mempertahankan gelaran,” kata Kiki selepas menjulang gelaran WTA kelapannya.

“Jurulatih saya (Raemon Sluiter) memberitahu saya bermain dengan baik dan terus memperbaiki pukulan. Ia menjadi!”

Donna yang menduduki ranking ke-30 WTA bermula yakin apabila mematahkan servis Kiki dua kali untuk mendahului 5-2.

Dia melakukan servis untuk set pertama namun Kiki enggan menyerah kalah dan mempamerkan kebangkitan, mematahkan servis dua kali untuk menyamakan kedudukan.

Dalam aksi tiebreak, pemain Belanda itu mempamerkan aksi lebih kemas untuk mendahului satu set selepas 58 minit di gelanggang.

Pada set kedua Kiki dilihat lebih bertenaga dalam aksi di Sibur Arena yang memuatkan 7,000 penonton.

Dia memenangi 79 peratus mata daripada servis pertamanya dan membuat dua lagi break untuk memenangi set, perlawanan dan gelaran itu, memastikan kemenangannya pada match point keempat dengan pukulan kilas yang menggegar jaring dan masuk ke gelanggang lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 1:53 PM