VINICIUS tak sabar jumpa Barca. FOTO/AGENSI
VINICIUS tak sabar jumpa Barca. FOTO/AGENSI
Reuters

MADRID: Tampak yakin selepas meledak gol pertamanya di La Liga ketika menewaskan Alaves 3-0, penyerang Real Madrid Vinicius Jr mula memasang angan-angan mahu mencabar Barcelona dalam aksi pertama separuh akhir Piala Raja Sepanyol minggu depan.

Pemain berusia 18 tahun itu diketepikan oleh bekas pengurus Julen Lopetegui kali terakhir Real berkunjung ke Nou Camp pada Oktober, dianggap terlalu muda dan tiada pengalaman berdepan Barca yang mengaibkan Madrid 5-1, sekali gus menamatkan tempoh kendalian Lopetegui di kelab itu.

Pemain Brazil itu bagaimanapun mengalami perubahan dramatik, membantu kebangkitan Real di bawah kendalian Santiago Solari, yang membantu kemenangan empat perlawanan terakhir mereka dan mara ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol buat kali pertama sejak 2014.

Selepas menerima tepuk gemuruh daripada penyokong Santiago Bernabeu dalam aksi kesembilan berturut-turut bersama juara Eropah itu, Vinicius berkata dia tidak gentar berdepan Lionel Messi dan pasukannya di depan 90,000 penyokong Barca.

“Saya tidak gentar dengan apa pun, saya bermain untuk Real Madrid, pasukan terbaik dunia dan tidak takut apa pun,” kata Vinicius.

“Nou Camp adalah gelanggang yang hebat, kami perlu berehat sekarang dan kemudiannya bekerja keras untuk menewaskan Barca.

“Saya tidak tahu jika saya akan bermain, jurulatih akan memutuskan cara terbaik untuk memastikan kemenangan pasukan.”

Jurulatih Real, Solari terus berahsia apabila ditanya sama ada beliau akan menurunkan Vinicius berdepan Barca.

“Dia mempamerkan aksi menakjubkan dan meninggalkan padang dengan seluruh Bernabeu bersorak untuknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 2:07 PM