SANTANDER (tengah) menanduk masuk gol kemenangan Bologna. FOTO AFP
AFP

MILAN: Federico Santander meledak gol kemenangan ketika Bologna mengejutkan Inter Milan 1-0 untuk terus memberi tekanan terhadap jurulatih Luciano Spalletti manakala Roma meraih satu mata hasil keputusan seri 1-1 dengan AC Milan awal pagi tadi.

Tandukan Santander memberikan permulaan sempurna buat jurulatih Sinisa Mihajlovic ketika skuad yang bergelut di zon penyingkiran mencatat kemenangan pertama dalam tempoh empat bulan.

Namun skuad Spalletti diejek ketika keluar dari padang San Siro apabila kedudukan mereka di tempat ketiga kini dirapati pencabar utama, Milan kepada empat mata, manakala Roma ketinggalan satu mata di tangga kelima.

Penyerang Paraguay Santander memecah kebuntuan selepas minit ke-33 menerusi tandukan untuk mengesahkan kemenangan ketiga musim ini dan yang pertama sejak 30 September lalu.

Inter masih memburu kemenangan pertama tahun ini, terikat tanpa jaringan dengan Sassuolo dan tewas 0-1 kepada Tourino di Serie A sebelum tersingkir daripada Coppa Italia di tangan Lazio menerusi penalti di San Siro minggu lalu.

PENYERANG Paraguay, Santander meraikan gol pada perlawanan menentang Inter Milan. FOTO AFP

“Malangnya apabila kami perlu berjuang atau berusaha menangani kesukaran, perkara itu akan memberi sesuatu yang berbeza kepada pasukan.

“Bagaimanapun, saya ulangi, saya tidak rasa diperhatikan. Saya yakin, pasukan masih bersama saya,” kata bekas pengendali Roma dan Zenit St Petersburg.

Situasi mungkin akan menjadi semakin buruk namun dengan aksi mantap penjaga gol Samir Handanovic, dan kapten Mauro Icardi gagal mencari peluang, melanjutkan kemarau gol Serie A kepada enam perlawanan.

Penjaga gol Bologna Lukasz Skorupski menafikan gol penyamaan Andrea Ranocchia tatkala kelab utara itu terus menghidupkan peluang untuk terus kekal dalam liga utama.

“Saya tidak mengharapkan permulaan yang lebih baik daripada ini,” kata Mihajlovic, pengendali kelahiran Serbia.

“Ini membuktikan jika anda berani, anda boleh lakukan apa saja. Anda boleh tewaskan Inter di San Siro.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 4:47 PM