GOMEZ (kiri) cuba mengekang penyerang Chelsea, Eden Hazard (tengah) pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, September lalu. - FOTO Agensi
Reuters

PERTAHANAN Liverpool, Joe Gomez akan menjalani pembedahan susulan retak bahagian bawah kaki dialami menentang Burnley, Disember lalu, menurut kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu tidak beraksi sejak dia dikeluarkan selepas 23 minit susulan terjahan keras pertahanan Burnley, Ben Mae.

Gomez pada awalnya diketepikan selama hingga enam minggu dan dijangka turun kembali musim ini namun Liverpool tidak pasti bila dia boleh beraksi semula.

“Ia satu tamparan buat pemain itu dan kami - kerana sebelum kecederaan itu dia berada dalam keadaan terbaik,” kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp.

“Tapi dia terlalu berharga dan tidak boleh mengambil risiko buat kami pada masa ini dan akan datang, jadi kami melakukan prosedur ini dan dia akan kembali apabila bersedia.

“Sikapnya ketika pemulihan ini amat menakjubkan tapi dia tidak pulih seperti yang kami mahukan.”

Gomez, yang memulakan musim sebagai tonggak utama Klopp bergandingan dengan Virgil van Dijk di benteng pertahanan Liverpool, tampil 18 kali dalam semua pertandingan setakat ini musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 10:58 PM