PENJAGA gol Valencia, Jaume gagal menepis sepakan sudut Joaquin pada separuh akhir pertama Piala Raja Sepanyol menentang Real Betis di Seville, awal pagi tadi. - FOTO Reuters
Reuters

KAPTEN Real Betis, Joaquin meledak gol menakjubkan menerusi sepakan sudut ketika pasukannya melayan Valencia di laman sendiri pada separuh akhir pertama Piala Raja Sepanyol awal pagi tadi, namun pelawat bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum seri 2-2.

Kevin Gameiro meraih gol penyamaan pada masa kecederaan buat Valencia selepas Denis Cheryshev mengurangkan defisit 20 minit sebelum tamat, membantu mereka meraih kelebihan bagi aksi kedua di Stadium Mestalla pada 28 Februari depan.

Penyerang Betis, Loren Moron meletakkan Betis di depan pada hujung babak pertama menerusi tandukan dan Joaquin menggandakan kelebihan dalam situasi menakjubkan pada awal babak kedua.

Pemain tengah veteran itu melakukan sepakan sudut yang melepasi garisan gol dan tidak sempat ditolak keluar penjaga gol Valencia, Jaume Domenech. Pengadil menghadiahkan gol itu selepas mendapat nasihat pembantu pengadil video (VAR).

Betis, yang menjulang trofi pada 2005, kelihatan dalam situasi terbaik untuk layak ke final Mei depan di stadium mereka, tetapi penyerang Russia, Cheryshev menjejaskan keceriaan mereka dengan tandukan padu.

Cheryshev hampir menyamakan kedudukan dengan satu lagi tandukan pada minit akhir tetapi terkena palang namun penyerang Perancis, Gameiro melengkapkan kebangkitan mereka dengan jaringan pada masa kecederaan.

“Kami mahu menang tapi dua kesilapan awal menyebabkan kami ketinggalan dua gol, tapi penting kami mendapat gol dan seri. Ia bekalan terbaik bagi separuh akhir kedua,” kata Cheryshev.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 8:07 AM