MUHAMMAD Fauzi (jersi merah) dihalang pemain Sabah, Dendy Lowa. FOTO Syamsi Suhaimi
Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Kelantan gagal bangkit di laman sendiri apabila sekadar seri 3-3 dengan Sabah dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.

Kelantan bermula garang apabila bekas penyerang Negeri Sembilan, Flavio Beck Junior menyempurnakan sepakan penalti pada minit kelima setelah Nik Akif Syahiran dijatuhkan dalam kawasan penalti.

Namun penyerang import Sabah, Luka Milunovic, akhirnya berjaya menyamakan kedudukan buat pasukannya pada minit ke-12 apabila menanduk masuk sepakan percuma bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Pada minit ke-16, pemain pertahanan tuan rumah, Khairul Asyraf Ramli memiliki peluang untuk menambah jaringan namun sepakannya hanya sedikit tersasar walaupun penjaga gol pelawat, Rozaimie Rohim sudah tertewas.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Kelantan menambah jaringan pada minit ke-52 menerusi rembatan susulan Nik Akif Syahiran yang menerima hantaran penyerang import The Red Warriors (TRW), Raul Tarragona menjadikan kedudukan 2-1.

Pada minit ke-72, Sabah pula hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan Luis Carlos Junior, namun, cubaannya dari jarak kira-kira 25 meter itu ditampan keluar, penjaga gol Kelantan, Abdul Arif Abdullah.

Pemain tengah Sabah, Maxsius Musa, akhirnya berjaya menyamakan kedudukan buat pasukannya pada minit ke-78 apabila membuat rembatan kencang dalam kawasan penalti bagi menjadikan kedudukan 2-2.

Sepakan deras Maxsius, pada minit ke-86 sekali lagi berjaya menambah koleksi jaringan peribadinya menjadikan kedudukan 3-2.

Selang tiga minit selepas itu, Kelantan menyamakan kedudukan 3-3 menerusi sepakan deras, Muhammad Danial Haqim yang menerima hantaran Flavio sebelum perlawanan tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 12:06 AM