Pemain Kelantan, Muhammad Fauzi Rozlan (dua dari kiri) dihalang pemain Sabah, Dendy Lowa dalam aksi bola sepak Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi.
Ryan Stanley


KOTA KINABALU: Pengendali Sabah, Jelius Ating tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun gagal membawa pulang tiga mata penuh selepas keputusan seri 3-3 menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Katanya, mereka hampir memenangi perlawanan itu walaupun dua kali ketinggalan namun kurang bernasib baik apabila dibolosi pada minit akhir perlawanan dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

"Secara keseluruhan kita bermain dengan baik dan menguasai perlawanan terutama pada separuh masa kedua, bagaimanapun kita dibolosi terlalu awal iaitu pada minit keenam.

"Masih banyak yang kita perlu perbaiki terutama di bahagian pertahanan kerana daripada dua perlawanan kita dibolosi sebanyak lima kali dan empat daripadanya adalah daripada situasi bola mati," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata, walaupun berjaya menghasilkan tiga gol pada aksi malam tadi, bahagian serangan pasukan itu juga masih perlu diperkemaskan kerana beberapa peluang baik gagal disempurnakan mereka.

"Kemasukan Junior (Luiz Carlos Caetano De Azevedo Junior) juga banyak membantu pasukan malam tadi walaupun ia adalah aksi pertama beliau, begitu juga dengan Luka (Milunovic) yang semakin serasi dengan pasukan.

"Bagaimanapun bahagian serangan masih perlu diperkemaskan lagi, kerana jika kita tidak menyempurnakan peluang yang terhidang, peluang untuk kita menang perlawanan jadi tipis," katanya.


Pemain Kelantan, Raul Andres Tarragona Lemos (kiri) dikawal pemain Sabah, Mohd Azzizan Nordin, dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi.

Pada aksi malam tadi, The Red Warriors mendahului menerusi jaringan penalti Flavio Beck Junior minit ke-6 namun pelawat menyamakan kedudukan menerusi Milunovic pada minit ke-12.

Kelantan menambah jaringan menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat minit ke-51 namun pasukan pelawat berada di depan menerusi dua gol Maxsius pada minit ke-78 dan 86 sebelum Muhammad Danial Haqim Draman menyamakan kedudukan buat Kelantan minit ke-88 menjadikan kedudukan jaringan 3-3 sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 1:40 PM