X
TIGA gram emas boleh dikeluarkan dari 100 telefon bimbit terpakai. FOTO AP
TIGA gram emas boleh dikeluarkan dari 100 telefon bimbit terpakai. FOTO AP
Agensi

TOKYO: Atlet yang cemerlang di Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan dikalungkan dengan pingat yang dihasilkan daripada bahan elektronik yang dikitar semua, demikian menurut Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo.

Idea berkenaan tercetus menerusi sumbangan jutaan telefon pintar lama dan alat digital terpakai.

Hampir 50,000 tan bahan berkenaan membabitkan kamera, konsol permainan video dan komputer selain lebih daripada lima juta telefon pintar dikumpul untuk projek diberi nama ‘Old Metals New Medals’ yang diadakan di seluruh Jepun sejak dilancarkan 18 bulan lalu.

“Projek berkenaan memberi peluang kepada orang awam menggalas tugas penting dalam persiapan temasya sukan, dan pada masa sama mencetus kesedaran terhadap pentingnya kelestarian di bawah slogan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Be Better Together - For the Planet dan the People,” menurut jawatankuasa berkenaan dalam satu kenyataan.

Jurucakap pasukan Great Britain berkata: “Kami berpendapat ia satu inisiatif yang hebat dan sesuatu yang patut disokong, hasil kunjungan kerap kami ke Tokyo, yang menggalakkan orang ramai mengitar semula dan menyokong Sukan Olimpik Tokyo 2020.”

Rakyat Jepun mendermakan gajet lama mereka di kedai dan pihak berkuasa tempatan seluruh negara sebelum ia diolah dan dikitar semula menjadi logam mentah.

Sejumlah 2,700 kilogram gangsa berjaya diasingkan pada Jun 2018 dan pada Oktober sejumlah 28.4kg emas dan 3,500kg perak berjaya dihasilkan menerusi sumbangan itu.

“Kami sudah sampai ke tahap di mana generasi kami perlu memikirkan mengenai langkah seterusnya, iaitu masa depan kami.

“Justeru usaha mengitar semula telefon yang mungkin tersorok di dalam almari atau tidak digunakan begitu lama, ia mungkin satu cara terbaik untuk memanfaatkannya kembali dan mencipta sesuatu yang tidak kurang pentingnya,” kata perenang Olimpik Britain, Ben Proud ketika projek itu dilancarkan pertama kali.

Rekaan pingat itu akan diperkenalkan pada musim panas tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 7:23 PM