PEMAIN TFC, Tchetche Hermann Btice Kipre (kiri) mengawal bola sambil dihalang oleh Goulon Herold. FOTO Muhd Asyraf Sawal


KUANTAN: Pahang meneruskan ‘amukan’ mereka selepas membelasah naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Tiga jaringan itu memastikan skuad kendalian Dollah Salleh meraih tiga mata yang juga kemenangan kedua berturut-turut.

Pada perlawanan itu, tuan rumah yang cemerlang membenam Kuala Lumpur 3-1 pada aksi pembukaan liga tidak menunggu lama untuk mencetak gol sulung hasil sentuhan penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme seawal minit ke-12.

Persembahan bertenaga penyerang Nigeria itu ternyata memberi tekanan kepada pertahanan pelawat terutama penjaga gol TFC, Wan Azraei Wan Teh yang terpaksa bekerja keras menyelamatkan gawang daripada dibolosi.

Pada minit ke-22, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim terpaksa mengeluarkan Wan Azraei selepas penjaga itu mengalami kecederaan dan diganti dengan Ilham Amirullah Razali.

Jentera serangan TFC turut gagal melakuan percubaan berbahaya untuk menguji penjaga gol Tok Gajah, Remezey Che Ros.

Sebaliknya, Pahang lebih banyak melakukan asakan dan hampir menambah jaringan selepas bola sepakan percuma penyerang Brazil, Jose Eduardo dari luar kotak penalti terkena palang pada penghujung separuh masa pertama.

Enam minit seawal babak kedua, pemain pertahanan, Goulon Herold menceriakan penyokong Tok Gajah apabila tandukannya memastikan gol kedua buat skuad itu sekaligus memberi tekanan kepada lawan.

TFC yang ketinggalan dua gol berusaha untuk mengurangkan defisit gol dan beberapa percubaan dilakukan tetapi gagal membolosi gawang tuan rumah termasuk percubaan tepat daripada Lee Tuck pada minit ke-56.

Pemain gantian, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo menambah derita skuad Penyu pada minit-minit akhir perlawanan untuk melengkapkan aksi cemerlang Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 12:02 AM