Eriksen menjaringkan gol kedua Spurs ketika menentang Leicester City di Wembley. Foto REUTERS
Reuters

JARINGAN daripada Davinson Sanchez, Christian Eriksen dan Son Heung-min membantu Tottenham Hotspur menewaskan Leicester City 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang menghiburkan di Stadium Wembley, London malam ini.

Tottenham berada di depan menerusi Sanchez yang meledak gol pertamanya buat kelab London itu selepas menanduk masuk hantaran Eriksen pada minit ke-33, biarpun pemain Leicester mengadu dia berada di kedudukan ofsaid.

Leicester mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan apabila penalti pemain gantian Jamie Vardy berjaya ditepis Hugo Lloris selepas Jan Vertonghen dikatakan mengasari James Maddison di kawasan penalti.

Tottenham menggandakan jaringan tiga minit kemudian selepas Eriksen berjaya mendapatkan bola di kawasan penalti dan segera meledak gol pantas yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan Kasper Schmeichel.

Vardy kemudiannya menebus kesilapan terdahulu dengan jaringan jarak dekat, 14 minit sebelum wisel penamat selepas gerakan sempurna membolehkan Ricardo Pereira melakukan hantaran dari bahagian kanan.

Selepas terus diasak Leicester, Heung-min melegakan debaran penyokong tuan rumah untuk gol ketiga hasil larian derasnya dari kawasan tengah padang yang memastikan kemenangan Spurs.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:29 AM