Aaron Ramsey
Aaron Ramsey
AFP

PEMAIN tengah Arsenal, Aaron Ramsey menandatangani perjanjian kontrak selama empat tahun untuk menyertai Juventus secara percuma pada Julai depan, umum juara Itali itu pagi tadi.

Pemain antarabangsa Wales berusia 28 tahun itu akan tiba di utara Itali pada 1 Julai dengan ikatan kontrak hingga 30 Jun 2023.

Kontrak Ramsey akan tamat pada hujung kempen ini, namun Arsenal tidak berhak mendapat sebarang bayaran yuran perpindahan.

"Berikutan untuk mendaftarkannya sebagai pemain, Juventus akan menanggung kos tambahan sebanyak 3.7 juta euro (RM17.01 juta), yang akan dibayar pada 10 Julai," kata juara bertahan Serie A itu.

Perpindahan itu menamatkan tempoh 11 tahun Ramsey bersama The Gunners selepas berhijrah daripada Cardiff pada 2008.

Sepanjang tempoh itu, dia membuat 256 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris, menjaringkan 38 gol dan memenangi tiga gelaran Piala FA serta dua Perisai Komuniti.

Dia juga pernah dipinjamkan sementara ke Nottingham Forest pada 2010 dan bekas kelabnya, Cardiff pada 2011.

"Saya mahu mengeluarkan kenyataan peribadi kepada semua penyokong Arsenal yang sangat setia dan sering memberi sokongan," tulis Ramsey dalam Instagramnya.

“Kamu menyambut ketibaan saya ketika remaja dan sentiasa bersama saya sepanjang tempoh naik turun bersama dengan kelab ini.

"Dengan hati yang berat saya akan meninggalkan kelab ini selepas 11 tahun menakjubkan di utara London. Terima kasih."

“Saya akan terus memberikan persembahan 100 peratus dan berharap berada dikedudukan terbaik sebelum membuka episod baru di Turin.”

Ramsey pernah membuat 58 kemunculan untuk Wales selain meledak 14 gol dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang mara ke pentas separuh akhir Euro 2016.

Dia akan menjadi pemain ketiga dari Wales menyarung jersi Juventus mengikuti jejak langkah legenda kelab John Charles dan bekas pemenang kasut emas Eropah, Ian Rush.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:04 AM
Digital NSTP Subscribe