RAIMI MD NOR
RAIMI MD NOR
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Tiada impian lebih besar buat barisan Melaka United (MU) selain melakar kemenangan ketika ujian getir berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Sabtu ini.

Selepas mengutip dua kemenangan berturut-turut menewaskan PJ City 2-1 dan PKNS 1-0, buruan skuad Hang Tuah pastinya untuk melebarkan catatan kemenangan pada aksi ketiga Liga Super mereka.

Pemain tengah MU, Raimi Md Nor, berkata sudah pasti misi turun padang Sabtu ini untuk menambah tiga mata lagi sekali gus memastikan rekod dua kemenangan sebelum ini mampu dipertahankan.

Menurutnya, perlawanan itu lebih bermakna berikutan ia berlangsung di gelanggang sendiri justeru usaha mengekalkan rekod tanpa kalah amat perlu digandakan di depan penyokong setia.

“Justeru, kami harus menggunakan kelebihan aksi di laman sendiri untuk menafikan kecemerlangan lawan yang juga pasukan hebat yang belum tewas setakat ini.

“Walaupun menyedari skuad Tok Gajah antara pasukan pilihan, namun ia bukan bermakna MU yang yang turun sebagai ‘underdog’ tidak mampu mengecewakan mereka,” katanya.

Raimi berkata, keazaman semua rakan sepasukan serta nasihat dan teguran barisan kejurulatihan MU menjadi panduan untuk merealisasikan misi penting kali ini.

Bagaimanapun, dia yang juga antara pemain utama skuad menyerahkan keputusan kepada jurulatih Zainal Abidin Hassan menentukan kesebelasan pertama dalam perlawanan terbabit.

Ia berikutan perancangan mereka mengambil kira semua aspek termasuk kekuatan pasukan, kelemahan lawan dan kecederaan pemain.

Sehubungan itu, tanpa mengira siapa yang diturunkan kesemua pemain sentiasa bersedia untuk beraksi bagi memberi tentangan hebat kepada pasukan pelawat.

Untuk rekod, Pahang sebelum ini gah menewaskan Kuala Lumpur 3-1 dan Terengganu 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 11:46 AM