HAFIZUL dikerumuni rakan sepasukan selepas berjaya menyelamatkan penalti Kitchee SC. - FOTO Effendy Rashid
Mohd Hafizee Mohd Arop

WIRA pasukan Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengakui gementar dan berdebar ketika menyelamatkan penalti Kitchee SC pada aksi pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), semalam.

Sambil menyifatkan nasib memihak kepadanya, Hafizul tidak mahu mendabik dada apabila sekali lagi menjadi wira pasukan dalam penentuan penalti seperti dilakukannya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018.

Dia juga bersyukur kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab diamanahkan ketua jurulatih, Mehmet Durakovic sekali gus menafikan hasrat pelawat untuk memenangi perlawanan itu selepas kedua pasukan terikat 1-1 sehingga ke masa tambahan.

"Ketika itu saya berdebar kerana harapan seluruh pasukan terletak di bahu saya. Jika saya gagal menyelamatkan sepakan pemain Kitchee SC, sudah pasti kemenangan berpihak kepada mereka selepas Leandro gagal menyempurnakan penalti Perak.

"Namun saya cuba menenangkan diri dan berjaya menyelamatkan sepakan pemain Kitchee SC sekali gus menghidupkan semula peluang Perak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, walaupun menyelamatkan sepakan itu, dia masih berdebar berdepan dengan sepakan seterusnya namun beberapa 'tips' diberikan rakan sepasukan digunakan sebaik mungkin untuk menafikan sepakan seterusnya.

"Along (Rafiuddin Roddin) dan Nazirul (Nazirul Naim Che Hashim) ada memberikan 'tips' sebelum perlawanan. Mereka beritahu saya yang pemain Kitchee SC gemar mengambil sepakan ke arah kiri pintu gol.

"Alhamdulillah, nasib saya baik apabila jangkaan saya tepat dan berjaya menolak sepakan penalti yang membawa kemenangan kepada Perak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 5:52 PM