Jan Vertonghen (kiri) penjaring gol kedua Tottenham Hotspur.
Reuters

JURULATIH Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino tidak mahu mendabik dada dengan kemenangan selesa ke atas Borussia Dortmund, 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara pagi tadi, sebaliknya perlu mengatasi kelemahan pasukan itu untuk perlawanan kedua nanti.

Spurs mengejutkan kelab Jerman itu menerusi penyerang kebangsaan Korea Son Heung-min dua minit sebelum tamat masa dan meledak dua gol menerusi pertahanan Belgium Jan Vertonghen yang sering ditugaskan beraksi di pertahanan kiri dan pemain gantian, Fernando Llorente.

“Ia adalah menakjubkan, persembahan yang baik ketika menyerang dan kesungguhan yang tinggi ditunjukkan pemain,” kata Pochettino.

“Pemain adalah wira. Mereka berhak dipuji kerana kesungguhan yang ditunjukkan pada musim ini menakjubkan.

“Dengan perlawanan pertama berakhir 3-0 mereka sudah memperolehi keputusan yang bagus, tetapi kami akan berkunjung ke Dortmund dengan sasaran untuk menang. Ia adalah keputusan yang bagus namun masih banyak kerja yang perlu dilakukan.”


Aksi jurulatih Dortmund, Lucien Favre (kanan) dan jurulatih Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino (kiri).

Tottenham bagaimanapun terpaksa menahan asakan lawan pendahulu Bundesliga itu yang banyak menguasai permainan pada minit awal permainan dan mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol.

Jurulatih kelahiran Argentina itu berkata, dia memberitahu kepada pemainnya supaya cuba memperlahankan rentak permainan lawan selain memastikan Dortmund yang dibarisi pemain sensasinya Jadon Sancho mencipta kemenangan.

“Saya boleh katakan pasukan kami gementar namun mempamerkan aksi lebih baik pada separuh masa kedua. Dalam babak kedua permainan kami menunjukkan beberapa situasi yang mengubah corak permainan,” kata Pochettino.

Keputusan itu adalah rekod kekalahan besar di gelanggang lawan Dortmund dalam Liga Juara-Juara. Sebelum ini, Dortmund turut dikejutkan dengan keputusan seri 3-3 menentang Hoffenheim minggu lalu walaupun mendahului 3-0 dan disingkirkan Werder Bremen menerusi sepakan penalti dalam saingan German Cup.


Pemain Tottenham Heung-min Son (kiri) mengelecek pemain Dortmund Thomas Delaney (kanan) dalam aksi Liga Juara-Juara. FOTO Agensi

“Kami beraksi baik pada separuh masa pertama, mempunyai beberapa peluang. Kami bertahan dengan baik dan penyerang dengan baik,” kata jurulatih Dortmund, Lucien Favre.

“Pada permulaan separuh masa kedua kami seolah menyerah. Ia seperti memberi laluan. Selepas itu kami juga bermain dengan tergesa-gesa dan ia benar-benar menyukarkan kami. Selepas gol kedua ia sukar untuk bertahan dan mencipta peluang.

Bagi Favre dan pemain peluang pasukannya masih terbuka jika kena pada congakan.

“Ada masanya sesuatu yang bukan diatas akan mengatasi mereka yang diatas. Itulah keputusan. Kami perlu melakukan analisis dan bekerja keras untuk memperbaiki kesilapan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 9:44 AM