Pemain Pahang, Mohd Faisal Rosli (tengah) ketika aksi Liga Malaysia.


PAHANG mahu melakar hatrik apabila bertemu Melaka United pada perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Sabtu ini. 

Dengan dua kemenangan berturut-turut ketika membenam Kuala Lumpur 3-1 dan 3-0 ke atas Terengganu TC (TFC) sudah cukup memberi keyakinan buat skuad Tok Gajah meneruskan rentak cemerlang itu. 

Pemain pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli atau dikenali dengan panggilan Tocang mahu memastikan benteng skuad kendalian Dollah Salleh itu kebal bertahan menyekat serangan tuan rumah. 

"Kejayaan mengekalkan gawang daripada dibolosi ketika menewaskan TFC memberikan semangat dan kekuatan kepada kami untuk terus beraksi pada prestasi terbaik. 

"Biarpun lawan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, kami sudah membuktikan bahawa tiada yang mustahil untuk mengutip tiga mata di tempat lawan. 

"Ia dibuktikan ketika kami menewaskan Kuala Lumpur di Cheras pada perlawanan pertama liga dan kunjungan ini lebih kepada merekodkan kemenangan," katanya. 

Ditanya pemain Melaka United yang akan menjadi tumpuan Tok Gajah, Mohd Faisal berkata, kapten pasukan, Safiq Rahim dan Liridon Krasniqi antara pemain yang perlu diawasi. 

Katanya, dua pemain itu mempamerkan prestasi terbaik tuan rumah dan pada masa sama, Melaka United turut mencatat dua kemenangan ke atas PJ City dan PKNS FC. 

"Sebagai pelawat, kami perlu memanfaatkan segala peluang yang ada dan ketajaman di bahagian serangan yang diketuai Dickson Nwakaeme diharap menjadi. 

"Kemenangan juga penting untuk mengukuhkan kedudukan di persada liga dan memberi semangat kepada kami untuk mempamerkan persembahan terbaik," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 12:49 PM