Renan Alves (tengah) melonjak tinggi dalam aksi perlawanan Pra-Musim di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok baru-baru ini.
Izzali Ismail


PEMAIN import pertahanan Kedah, Renan Alves tidak mahu dibuai pujian daripada penyokong walaupun beliau berjaya menghasilkan gol peribadi pertama untuk skuad Lang Merah pada aksi kedua Liga Super menentang Perak yang berkesudahan seri 1-1 jumaat lalu.

Malah pemain kental kelahiran Rio De Janeiro, Brazil berusia 26 tahun yang kini digelar 'Mat Nan' ini menganggap usaha yang terhasil itu akan terus membakar semangatnya untuk terus bersama-sama pemain lain dalam membantu Kedah mencapai kemenangan untuk aksi seterusnya bertemu Felda United di Stadium Darul Aman Sabtu ini.

“Jaringan gol lalu yang dihasilkan memang penting tetapi membantu pasukan meraih mata itu adalah lebih penting dengan diikuti semangat juang yang ditunjukkan oleh rakan sepasukan.

"Berhadapan dengan Felda United kali ini kita perlu tetap berhati-hati kerana mereka memiliki corak permainan yang pantas jadi kita harus terus fokus dan bekerja keras dalam memburu kejayaan pasukan.

“Saya mahu berusaha sebaik mungkin untuk pastikan benteng pertahanan Kedah dapat menepis segala cubaan bahaya daripada pihak lawan,” katanya.

Dia menaruh keyakinan dengan perancangan taktikal yang dirancang ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak meletakkan Kedah pada tahap terbaik pada saingan Liga Super yang baru bermula ini.

"Saya dapat menerima taktikal yang dirancang oleh jurulatih dengan baik dan ini juga diyakini oleh semua pemain.

Kami satu pasukan yang baharu dan dengan persefahaman yang terjalin ini, kami mahu terus meningkatkan tahap permainan dari satu peringkat ke satu peringkat dengan lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 1:01 PM