KENNY Pallraj (kanan) dicabar pemain Kitchee, Jordi Tarres pada aksi kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia di Stadium Perak, kelmarin. - FOTO Effendy Rashid
Firdaus Hashim


MEHMET Durakovic lega dengan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang meluluskan permohonan untuk menunda aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur malam esok sebagai satu suntikan semangat buat anak buahnya.

Pengendali Perak itu berasa terharu atas keprihatinan MFL untuk menunda aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu memandangkan Perak perlu membuat persiapan rapi berdepan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia, Selasa depan.

Jelasnya, penundaan jadual perlawanan itu mustahak buat Perak memandangkan mereka perlu mengharungi satu hari perjalanan ke Ulsan selain pemain begitu kepenatan selepas beraksi selama 120 minit menentang Kitchee SC, kelmarin.

“Saya cukup risau bagaimana kami bertemu Kuala Lumpur bila lihat keadaan pemain turun menjalani latihan pagi ini kerana belum cergas selain hanya memberi tumpuan proses pemulihan semata-mata.

“Jadi, sebaik mengetahui berita ini (tunda perlawanan) sejurus selepas sesi latihan tadi, saya ucapkan syukur dan ini satu berita gembira bukan saja buat saya tapi pemain.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada MFL kerana sudi memberi kelonggaran kepada Perak selain persetujuan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) serta pihak lain yang sudi membantu.

“Perlawanan dengan Ulsan Hyundai ini amat besar ertinya buat Perak kerana kami juga mahu ikut jejak langkah JDT (Johor Darul Ta’zim) bermain di Liga Juara-Juara Asia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia di Ipoh kelmarin, Perak mengalahkan kelab Hong Kong, Kitchee menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 apabila kedudukan terikat 1-1 selepas masa tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 7:30 PM