CHONG Wei ketika menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini. - FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Saiful Affendy Sapran


BEKAS pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei enggan memikirkan mengenai sasaran meraih pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebaliknya, dia lebih memikirkan mengenai cara untuk melayakkan diri terlebih dahulu ke temasya sukan terulung dunia itu yang dilangsungkan sekali dalam tempoh empat tahun.

“Bagi saya untuk layak ke Sukan Olimpik kali ini bukan tugas yang mudah. Tapi saya sedia bersaing dan mahu layak beraksi buat kali kelima.

“Semua atlet pastinya mahu beraksi di Sukan Olimpik kerana ia hanya berlangsung sekali dalam tempoh empat tahun,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di Kuala Lumpur, hari ini.

Chong Wei bagaimanapun sekali lagi mengakui cabaran untuk layak ke Sukan Olimpik bukan mudah kerana perlu bersaing dengan pemain negara seperti Lee Zii Jia serta Liew Daren.

“Saya harap terus berada dalam keadaan baik dan kemudian melakukan persiapan untuk kempen kelayakan Sukan Olimpik,” katanya.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu mengulas pandangan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai dia mungkin bukan sandaran utama untuk meraih pingat emas di Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 6:41 PM