ZAQUAN (tengah) meraikan gol pertama Kedah bersama Baddrol (kanan) dan Anmar pada aksi Liga Super menentang FELDA United di Alor Setar, malam ini. - FOTO BERNAMA
Izzali Ismail

KEDAH mengatasi Pahang menerusi perbezaan gol di puncak Liga Super selepas membelasah FELDA United 4-0 di Alor Setar, malam ini.

Kemenangan besar itu membolehkan mereka mengutip tujuh mata, sama seperti pasukan tangga kedua Pahang, pendahulu semalaman Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka. Pahang seri 1-1 di Melaka malam ini.

Bermula garang di depan lebih 15,000 penyokong di Stadium Darul Aman, skuad Lang Merah kendalian Aidil Sharin Sahak memulakan tekanan melalui percubaan Baddrol Bakhtiar seawal minit pertama dan diikuti percubaan Fernando Rodriquez seminit kemudian namun gagal mendapatkan gol awal.

Tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-16 hasil percubaan Zaquan Adha Radzak yang berjaya menewaskan penjaga gol FELDA, Norazlan Razali.

Tiga minit sebelum rehat, Kedah menambah gol kedua melalui percubaan menarik Anmar Al Mubaraki.

Pemain pertahanan Shakir Hamzah terus menambah derita FELDA United apabila dia meledak gol ketiga pada minit ke-53 menerusi tandukan kencang susulan sepakan sudut Baddrol.

Fadzrul Danel Nizam terus menghukum pelawat apabila melengkapkan kemenangan bergaya itu dengan jaringan pada minit ke-74 apabila pemain muda itu memanfaatkan bola muntah tampanan Norazlan susulan sepakan percuma Renan Alves.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 11:24 PM