PENYOKONG Melaka yang membanjiri stadium. FOTO/ RASUL AZLI SAMAD
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Keputusan seri 1-1 Melaka United (MU) berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, malam tadi dianggap berbaloi buat jurulatihnya Zainal Abidin Hassan, selepas skuad itu ketinggalan 0-1.

Zainal berkata, melepaskan gol mudah seawal minit kelima jelas bukan halangan mereka bangkit membentuk gerakan dan keserasian jitu sehingga berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Safiq Rahim.

Katanya, disiplin tinggi anak buahnya berjaya menebus kehampaan terbabit sekali gus meraih satu mata berharga di laman sendiri.

Beliau berkata, pemain juga berjaya menunjukkan peningkatan efektif pada perlawanan ketiga terbabit walaupun turut diasak hebat lawan.

"Apa yang lebih penting pemain beraksi habis-habisan dan berhempas-pulas untuk tidak menghampakan penyokong di halaman sendiri.

"Ketika di dalam bilik persalinan, saya terus memberikan motivasi kepada pemain untuk melupakan gol pendahuluan pelawat, selain memberikan kata semangat buat mereka memburu jaringan. Apa yang membanggakan mereka merealisasikan perencanaan terbabit," katanya.

Baginya, melihat cara permainan pasukan seharusnya skuad Hang Tuah tidak kehilangan sebarang mata dalam aksi terbabit termasuk setiap percubaan berjaya diselamatkan pertahanan Tok Gajah.

Sementara itu, Zainal berkata, keputusan pengadil memberi sepakan penalti kepada pasukan selepas Anselmo Casagrande dijatuhkan pertahanan lawan adalah tepat.

ZAINAL berpuas hati dengan keputusan perlawanan. FOTO/NSTP

Dalam pada itu, pengendali Pahang, Dollah Saleh pula enggan memberi komen sepakan penalti yang dihadiahkan kepada tuan rumah namun dia tetap kecewa jaringan terbabit menyebabkan pasukan itu hanya pulang dengan satu mata.

Katanya, pasukannya itu mampu menjaringkan lebih gol awal menerusi peluang yang terhidang sekali gus melebarkan jurang gol dengan skuad Hijau Putih.

Bagaimanapun, beliau mengakui rezeki tidak memihak kepada anak buahnya selepas setiap percubaan berjaya dihalang penjaga gol MU, Khairul Fahmi Che Mat serta benteng pasukan tuan rumah yang menyaksikan beberapa hantaran bola tersasar.

Pahang yang bermain corak menarik dengan gerakan cantik memiliki beberapa peluang menambah jaringan namun percubaan Mohd Nor Azam Azih (m-49) hanya sekadar menggegar palang gol MU.

Peluang lain dimaksudkan Dollah termasuk menerusi Dickson Nwakaeme pada minit ke-31 dan Harold Goulon (m-37) dan Matthew Davies (m-41).

Skuad Hang Tuah turut berpeluang menerobos gawang lawan sebelum sepakan penalti Safiq (m-89) menerusi Liridon Krasniqi (m-14), Patrik Reichelt (m-44) dan Casagrande (m-48) namun kesemuanya gagal membuahkan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 1:49 PM