SKUAD sepak takraw bakal berdepan Thailand pada Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung pada Disember. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Skuad sepak takraw negara berpeluang menguji sejauh mana persiapan sebelum turun mempertahankan emas Sukan SEA di Filipina.

Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dijadual menganjurkan Piala Dunia kira-kira dua bulan sebelum Sukan SEA berlangsung.

"ISTAF akan menganjurkan Piala Dunia pada Oktober di Goa, India. Ia akan mempertandingkan acara regu dan quadrant (berempat) bagi lelaki dan wanita," kata Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader.

Ia dilihat medan terbaik untuk anak buah Abdul Talib Ahmad menguji kemampuan regu terbaik negara menjelang Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung pada Disember.

Pasukan handalan seperti Thailand dan Korea Selatan dijangka mengambil bahagian.

"Kami meletakkan sasaran sehingga 20 negara akan bertanding dalam kategori lelaki dan 18 bagi wanita. Ia adalah terbuka kepada negara yang berminat termasuk Malaysia," menurut Abdul Halim.

Tambahnya, kejohanan berkenaan dilihat sebagai salah satu usaha untuk meyakinkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menyenaraikan sepak takraw pada temasya dianjurkan mereka.

Malaysia muncul naib juara pada edisi 2017 selepas tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi final yang berlangsung di Hyderabad, India.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 9:18 PM