AKSI tegang di antara pemain Doncaster Rovers, Alfie May (kiri ) yang menarik baju pertahanan Crystal Palace, Patrick van Aanholt di Stadium Keepmoat. - FOTO AFP
AFP

CRYSTAL Palace dan Wolverhampton Wanderers memastikan mereka tidak menjadi mangsa terbaru mengalami kejutan dalam saingan Piala FA apabila menewaskan pasukan bawahan sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir, awal pagi tadi.

Palace menang 2-0 ke atas pasukan kerdil, Doncaster Rovers sementara Wolves menewaskan kelab Championship, Bristol City 1-0.

Satu lagi perlawanan pusingan kelima menyaksikan Swansea menewaskan Brentford 4-1 yang beraksi sepuluh pemain.

Semua pemenang menyertai pasukan Liga Perdana Manchester City, Brighton dan Watford ke saingan lapan terbaik dengan juara bertahan Piala FA Chelsea menentang Manchester United awal pagi esok.

Dua jaringan di separuh masa pertama daripada Jeffrey Schlupp dan Max Meyer cukup buat Palace menang di Yorkshire.

Rembatan rendah Schlupp membolehkan The Eagles yang dikendalikan bekas pengurus England, Roy Hodgson mendahului perlawanan sebelum tandukan Meyer menjadikan kedudukan 2-0 seminit sebelum rehat.

Kelab Liga Dua, Rovers menikmati beberapa penguasaan bola dan turut memperolehi peluang namun perbezaan taraf jelas ketara di babak penghujung perlawanan.

"Kami tahu jika kami lolos pusingan ini, peluang kami ke Wembley adalah cerah,” kata Schlupp kepada BBC.

"Ini kejohanan istimewa dan berharap undian memihak kepada kami. Bertemu pasukan kurang kuat memudahkan kami mara lebih jauh.”

Sementara itu, jaringan tunggal Ivan Cavaleiro di Ashton Gate menyaksikan Wolves yang juga juara Piala FA empat kali mara ke suku akhir sekali gus mengakhiri badi 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 8:49 AM