PEMAIN Pahang, Saddil Ramdani (tengah) diasak dua pemain Melaka United, Wan Amirul Afiq (kanan) dan Liridon Krasniqi di Stadium Hang Jebat, Krubong. - FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar

KEPUTUSAN seri 1-1 Melaka United (MU) ketika berdepan Pahang adalah gambaran awal yang skuad itu kini berada di landasan terbaik bagi mencabar pasukan handalan Liga Malaysia musim ini.

Berada di tangga keempat Liga Super berkongsi tujuh mata sama dengan tiga pasukan teratas membabitkan Kedah, Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dipisahkan menerusi perbezaan jaringan memperlihatkan MU mampu memberi saingan kepada lawan berkenaan.

Penolong Pengurus MU, Yuhaizad Abdullah berkata, ia adalah momentum positif ke arah mengekalkan ranking empat pasukan terbaik seperti sasaran pasukan sebelum ini.

Menurutnya, jika prestasi sama mampu dikekalkan dalam baki saingan, tidak mustahil skuad Hang Tuah dilihat antara pasukan yang boleh melakar kejayaan sekurang-kurangnya menjulang satu piala musim ini.

“Bagaimanapun, kedudukan terbabit masih belum selamat berikutan pentas saingan masih terlalu awal dengan semua lawan masih dalam pembentukan skuad mantap. Malah PJ City dan PKNS juga memiliki kewibawaan sukar dijangka walaupun masing-masing berada di kedudukan kelima dan keenam.

“Kami menjangkakan saingan tetap sengit. Sehubungan itu, apa yang penting MU menggandakan usaha pembentukan keserasian yang lebih jitu terutama misi mengutip mata maksimum pada setiap perlawanan,”katanya.

Mengulas prestasi memberangsangkan skuad terbabit setakat ini, Yuhaizad berkata, ia adalah atas usaha keras barisan kejurulatihan, pengurusan, pemain import dan tempatan.

Malah, sokongan padu peminat juga memberi kesan positif terhadap perjuangan pemain untuk menampilkan aksi terbaik.

Berikutan itu, skuad terbabit akan turun ke Stadium Larkin berdepan JDT, Sabtu ini dengan misi mempertahankan aksi tanpa kalah dalam masa sama tetap mahukan kemenangan ke atas Harimau Selatan.

Yuhaizad berkata, jika corak permainan konsisten terus ditampilkan seperti ketika berdepan Tok Gajah, tidak mustahil JDT mampu ‘dijinakkan’ hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 2:56 PM