AKSI pemain Kedah Anmar Fares Abdul Jabar melepasi asakan dua pemain Felda United FC Ahmad Haziq Ahmad Fuad (kanan) dan Mohammad Raffi Nagoorgani (dua dari kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman. -Foto BERNAMA


KUANTAN: Biarpun terpaksa akur tewas 0-4 kepada Kedah kelmarin, kekalahan itu tidak menjejaskan moral FELDA United bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Justeru, The Fighters berazam bangkit dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang menyebabkan kelab itu tewas buat kali pertama selepas mengharungi tiga perlawanan liga musim ini.

Pada dua perlawanan sebelum itu, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil mencatat keputusan positif apabila seri 1-1 dengan Selangor dan PKNP FC 1-1.

Pemain tengah The Fighters, Christie Jayaseelan berkata, skuadnya sudah memberikan persembahan yang terbaik seperti dua perlawanan lalu.

“Beberapa kesilapan menyebabkan kami tidak dapat mengekang asakan tuan rumah yang berjaya memanfaatkan peluang yang dimiliki.

“Dari segi persembahan, kami sudah memberi yang terbaik tetapi kelebihan yang dimiliki lawan menyebabkan tuan rumah beroleh kemenangan.

“Namun, kami tidak boleh meratapi kekalahan ini, sebaliknya perlu bangkit untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan seterusnya,” kata pemain berumur 33 tahun itu.

Ditanya peluang menyekat Perak Sabtu ini, Christie berkata, kelab itu perlu segera memperbaiki kesilapan untuk memulih kembali prestasi pasukan.

Biarpun Perak dilihat memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, katanya tiada yang mustahil untuk mencuri mata di Stadium Perak.

“Kami perlu lebih agresif dan tidak terikut-terikut rentak permainan lawan hingga menjejaskan peluang memperoleh kemenangan pertama setakat ini,” katanya.

Selepas tiga perlawanan, The Fighters menduduki tangga kesembilan liga dengan mengutip dua mata hasil keputusan seri dengan Selangor dan PKNP FC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 10:49 PM