REAKSI Sarri di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
AFP

“BUKAN masalah saya. Saya hanya bimbang tentang kedudukan saya ketika saya berada di League 2 di Itali, bukan sekarang. Saya risau tentang keputusan, bukan tentang peminat. Sudah tentu saya memahami situasinya,” menurut jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri ketika ditanya sama ada dia bimbang sekiranya pemilik kelab, Roman Abramovich akan memecatnya.

Sarri menegaskan dia tidak risau dipecat sebagai pengendali Chelsea selepas anak buahnya disingkirkan oleh Manchester United 2-0 pada pusingan kelima Piala FA di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Ander Herrera menanduk masuk gol pembukaan United pada minit ke-31 hasil hantaran lintang Paul Pogba.

Pogba kemudian menambah jaringan United sebelum rehat, juga menerusi tandukan selepas menerima hantaran daripada Marcus Rashford.

Sarri juga percaya keadaan akan bertambah baik sekiranya Chelsea mula mencatat deretan kemenangan, bermula dengan aksi 32 terakhir Liga Europa Khamis ini menentang Malmo dan final Piala Liga menentang Manchester City pada Ahad.

“Ia sangat mudah. Jika kita menang tiga atau empat perlawanan berturut-turut, ia akan menjadi mudah. Sudah tentu sukar untuk menang lima perlawanan berturut-turut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 8:10 AM