BADHRI (tiga dari kanan) ketika beraksi dengan Kelantan menentang Kedah pada aksi Liga Super, tiga tahun lalu. - FOTO Fail
Attirmidzie Rahman


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) enggan terburu-buru membuat keputusan mendapatkan kembali khidmat bekas pemain tengah, Badhri Radzi atau Piya.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, beliau menasihati mana-mana pihak yang berminat mendapatkan khidmat pemain itu supaya berurusan dengan majikannya Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

“Kami kena hormati kontrak Piya dengan majikannya dan jangan mengambil kesempatan ke atas persatuan bola sepak negeri yang sedang mengalami masalah dalaman.

“KAFA juga harus meneliti terma dan syarat kontrak pemain sama ada Piya boleh dilepaskan dengan persetujuan bersama majikannya (PFA),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai hasrat anak syarikat KAFA, Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (KRW) ingin mendapatkan kembali khidmat Piya, Bibi mengakui ada menghubungi Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie untuk berbincang mengenai perkara itu.

“Beliau (Ahmad Amizal) mengesahkan kontrak Piya tidak dinyatakan secara rasmi jika tidak mendapat bayaran gaji dua bulan dia boleh bermain dengan pasukan lain sesuka hati.

“Malah KRW perlu menimbang beberapa perkara sebelum menyatakan hasrat mendapatkan khidmat Piya supaya pisang tidak berbuah dua kali.

“Piya juga pernah menyatakan dia tawar hati untuk bermain dengan Kelantan dan KAFA sebelum ini pernah memanggilnya (Piya) untuk berbincang mengenai masa depannya bersama pasukan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 12:44 PM