X
Datuk Lee Chong Wei.
Datuk Lee Chong Wei.
Saiful Affendy Sapran


MESKIPUN nama Datuk Lee Chong Wei sah didaftarkan untuk beraksi di Terbuka Malaysia dari 2 hingga 7 April depan, namun penampilan jaguh perseorangan negara itu bergantung kepada pemeriksaan susulan kanser hidungnya di Taiwan bulan depan.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, meskipun juara Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali itu menjalani latihan seperti biasa ketika ini, namun segala-galanya bergantung kepada nasihat doktor yang merawatnya.

"Seperti yang Chong Wei katakan sebelum ini, dia perlu tunggu hasil pemeriksaan di Taiwan bulan depan.

"Selepas itu baru kita lihat apa perancangan seterusnya sama ada dia boleh beraksi atau sebaliknya,” katanya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum itu mengesahkan penyertaan Chong Wei di Axiata Arena Bukit Jalil.

Selain Chong Wei dua pemain perseorangan di bawah naungan BAM, Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven turut disenaraikan.

Sekiranya dapat beraksi di Terbuka Malaysia, ia adalah kejohanan pertama yang bakal disertai Chong Wei selepas kali terakhir membuat penampilan di pentas antarabangsa pada Terbuka Indonesia, Julai tahun lalu.

Selepas itu, Chong Wei disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal yang memaksanya untuk berehat panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 8:44 PM