KUALA TERENGGANU 31 JANUARI 2019. Bekas pemain Hanelang FC, Mohd Haris Safwan semasa sesi temuramah berhubung isu 8 bulan tunggakan gaji bersama pasukannya di salah sebuah restoran Kuala Terengganu. NSTP/GHAZALI KORI
KUALA TERENGGANU 31 JANUARI 2019. Bekas pemain Hanelang FC, Mohd Haris Safwan semasa sesi temuramah berhubung isu 8 bulan tunggakan gaji bersama pasukannya di salah sebuah restoran Kuala Terengganu. NSTP/GHAZALI KORI
Meor Riduwan Meor Ahmad


“KAMI berjuang sepanjang musim... bila ada peluang, begini pula jadinya. Macam tiada apa-apa. Tapi, nak cakap macam mana lagi, reda sajalah,” kata bekas pemain kebangsaan dan penyerang pasukan T-Team, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal mengenai anugerah Kasut Emas di Liga Perdana yang dimenanginya pada 2009.

Menurutnya, dia berharap pihak terbabit khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat memperhalusi perkara itu.

“Sebagai pemain, kami bukan minta lebih, tapi harap susah payah kami bersaing dalam bola sepak dihargai. Selain kejayaan pasukan, anugerah ini adalah pengiktirafan atas kejayaan individu pemain.

“Saya perhatikan majlis anugerah cukup hebat, tiba-tiba dapat kasut biasa yang dicat warna emas. Jadi, kita sebagai pemain memang kecewa,” katanya lagi.

Arena Metro semalam melaporkan, bekas penyerang skuad kebangsaan, Mohd Nizaruddin Yusof, 40, terkilan apabila Kasut Emas yang diterimanya selepas muncul penjaring terbanyak Liga Malaysia (Liga M) pada 2009 kini sudah rosak, sekali gus menggambarkan kualitinya rendah berbanding peringkat antarabangsa.

Masakan tidak, Kasut Emas itu yang disangka kebanyakan orang sebagai kasut tulen bersadur emas, hanyalah but bola biasa yang disembur cat berwarna emas dan kemudiannya dihias di dalam kotak plastik lutsinar.

Haris berkata, Kasut Emas miliknya yang dimenangi selepas meledak 24 gol Liga Perdana ketika mewakili T-Team, disimpan di rumah keluarganya.

Katanya, isu itu bukan perkara remeh kerana ia boleh menjadi pendorong kepada pemain untuk bersaing secara sihat menjadi yang terbaik.

“Nak dapat bukan senang. Terpaksa bersaing dengan penyerang tempatan dan import. Saya dapat kasut emas itu bersama-sama dengan Nizaruddin. Saya punya belah kiri, mungkin penganjur beli sepasang kasut bola jenama Nike untuk kami kongsi,” katanya yang pernah menggemparkan bola sepak negara apabila menjadi pemain pertama diterbangkan menaiki helikopter untuk perlawanan separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Utama, Perlis ketika mewakili MPPJ FC.

Dalam perkembangan lain, Haris berkata, beliau kini menjadi jurulatih pasukan Liga M3, Banggol Tokku FC yang juga Juara Liga Amatur Terengganu 2018 dan sedang bersaing dalam kelayakan Piala FA 2019.

Berita berkaitan

Malu nak tayang...' [METROTV]

Kos tak cecah RM1,500

Tak setimpal penat lelah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 11:24 AM