MUSTAFI (tengah) meraikan gol kedua bersama rakan sepasukan di Stadium Emirates, awal pagi tadi. - FOTO Reuters
AFP

ARSENAL layak ke pusingan 16 terakhir Liga Europa selepas menang selesa 3-0 ke atas BATE Borisov awal pagi tadi sekali gus mengatasi defisit aksi pertama yang mengancam salah satu pasukan pilihan pertandingan itu daripada tersingkir.

BATE hadir di Stadium Emirates, London dengan harapan melakar kejutan selepas menundukkan Arsenal 1-0 di Belarus minggu lalu.

Namun tuan rumah menyamakan agregat hanya selepas tiga minit apabila Zakhar Volkov tertampan hantaran silang leret Pierre-Emerick Aubameyang melepasi penjaga golnya sendiri Denis Scherbitski.

Pasukan kendalian Unai Emery terus mengasak dan berhak mendahului secara agregat apabila Shkodran Mustafi menanduk masuk enam minit sebelum rehat.

Maksim Skavysh terlepas peluang baik untuk meletakkan BATE di depan menerusi peraturan gol di tempat lawan apabila Arsenal gagal mengeluarkan boal dari kawasan bahaya tiga minit selepas rehat namun satu lagi tandukan kencang kali ini daripada Sokratis pada minit ke-60 membolehkan Gunners berada dalam undian malam ini.

VERDI (kiri) menjaringkan gol pertama Napoli di Naples. - FOTO Reuters

“Kami mahukan keputusan ini tapi kami juga mahu bermain buat penyokong kami di sini, untuk meningkat dan mengukuhkan mentaliti selepas aksi pertama di tempat lawan, yang tidak berapa bagus. Kami melakukan yang terbaik untuk bangkit dan pasukan bertindak dengan baik,” kata Emery kepada BT Sport.

“Pemain mengikut perancangan permainan seperti yang kami mahukan dan mereka tiba di kotak penalti lawan dengan banyak hantaran silang. Kami beraksi dengan berkesan, sesuatu yang tidak dilakukan di gelanggang lawan.”

Arsenal disertai satu lagi pasukan pilihan Napoli selepas anak buah Carlo Ancelotti, yang bergelut mencari gol akhir-akhir ini, menang 2-0 ke atas FC Zurich untuk layak 5-1 secara agregat.

Adam Ounas muncul wira buat kelab Serie A itu selepas mengumpan gol pembukaan jaringan Simone Verdi pada minit ke-43 sebelum menjaringkan gol kedua tuan rumah 15 minit sebelum tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 7:44 AM