BELINDA mengatasi pemain Romania, Simona pada suku akhir Kejohanan Dubai, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

BELINDA Bencic mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia Simona Halep 4-6, 6-4, 6-2 untuk layak ke separuh akhir Kejohanan Dubai awal pagi tadi, kejutan kedua berturut-turut dilakukannya di negara Teluk itu.

Belinda, pemain ranking ke-56, menyusuli kemenangan pusingan ketiga ke atas pilihan kelapan Aryna Sabalenka, yang mana dia menyelamatkan enam mata penamat, dengan kemenangan dua setengah jam ke atas juara 2015, Simona.

Bekas pemain nombor tujuh dunia itu akan bertemu juara dua kali Elina Svitolina, yang mengalahkan Carla Suarez Navarro 6-2, 6-3 bagi memburu tempat ke final.

“Saya berjuang dan gembira tidak berputus asa. Saya tidak memberinya mata mudah, jadi saya mampu terus bersaing,” kata bintang Switzerland, Belinda, yang mana kariernya dibelenggu beberapa siri kecederaan belakang dan pergelangan tangan.

“Saya hanya gembira saya kembali. Saya tahu permainan saya masih kekal sekalipun selepas cedera. Saya terpaksa bekerja keras untuk kembali, saya gembira kerana akhirnya mampu membuktikannya.”

Simona, naib juara minggu lalu di Doha selepas tewas kepada Elise Mertens berkata, dia berasa penat sepanjang perlawanan.

“Saya letih. Selepas set kedua, saya berasa seperti kejang sedikit. Ia satu perkara biasa. Saya banyak berpeluh.

“Dia bermain dengan amat bagus dan pada hujungnya, dia lebih kuat.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 10:36 AM