VELAZQUEZ kembali memperkasakan JDT. FOTO Getty Images
Rizar Mohd Noor


APAKAH kehadiran semula Leandro Velazquez mampu menguatkan semula Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan saja bagi mengharungi kancah Liga Super malah saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Mungkin langkah pengurusan tertinggi kelab yang menjuarai liga lima musim berturut-turut itu satu jalan terbaik ketika skuad Harimau Selatan tampak kurang menyengat di bahagian tengah yang seolah-olah tidak bermaya pada tiga aksi saingan liga.

Walaupun menjalani latihan singkat, Velazquez akan membuat penampilan pertama bersama JDT yang pernah disertainya pada 2015 apabila melayani Melaka United pada aksi liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok.

Aksi itu pasti menarik kerana Velazquez akan bertembung dengan Safiq Rahim, pemain yang pernah beraksi bersamanya ketika membantu JDT memenangi Piala AFC pada 2015 dan kini mereka akan ‘bermusuhan’.

Selepas kontrak bersama JDT ditamatkan pada 2015, bekas pemain B-20 Argentina itu kembali ke negaranya dan menyertai kelab Deportivo Pasto yang berpangkalan di Colombia selama dua musim 2016 dan 2017.

Kemudian, dia berpindah ke Mexico dan menyertai Veracruz sebelum dipinang semula JDT bagi menggantikan Aaron Niguez yang digugurkan selepas dikatakan kurang berkesan dalam tiga perlawanan.

Apa pun perubahan yang dilakukan JDT, ia dilihat sebagai rombakan untuk menguatkan semula pasukan itu dan pertembungan menentang Melaka menjadi perhatian penyokong Harimau Selatan sama ada tindakan itu wajar atau sebaliknya.

Mungkin Velazquez tidak kekok dengan falsafah bola sepak JDT memandangkan dia sudah beraksi bersama kelab itu dan faham dengan kehendak pengendali Luciano Figueroa yang pernah beraksi bersamanya pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 4:34 PM