CHELSEA diberi tempoh tiga hari untuk merayu keputusan FIFA itu. FOTO Reuters
AFP

KELAB Liga Perdana Inggeris, Chelsea diharamkan daripada mendapatkan pemain baharu pada dua jendela perpindahan berikutnya sebagai hukuman kerana melanggar peraturan mendaftarkan pemain bawah umur, menurut FIFA di Paris, hari ini.

Ini bermakna kelab itu tidak boleh mendapatkan pemain baharu sehingga akhir Januari tahun depan.

“Jawatankuasa Disiplin menghukum Chelsea dengan penggantungan untuk mendaftar pemain baharu baik peringkat nasional atau antarabangsa untuk dua sesi pendaftaran lengkap, berturut-turut,” jelas FIFA dalam satu kenyataan.

Selain itu Chelsea turut didenda 600,000 Swiss francs (RM2.4 juta) dan diberikan tempoh 90 hari untuk memutuskan situasi pemain terbabit.

Larangan itu bagaimanapun tidak menghalang pemain daripada meninggalkan kelab dan tidak membabitkan pasukan wanita serta futsal.

Chelsea diberi tempoh tiga hari untuk merayu keputusan FIFA itu.

Tindakan itu diambil FIFA susulan Chelsea mendapatkan pemain bawah 18 tahun termasuk bekas penyerang Bertrand Traore, pemain Burkina Faso yang kini beraksi bersama kelab Ligue 1 Perancis, Lyon.

Traore menandatangani borang selaku pemain pemain profesional bersama Chelsea pada 2013 ketika berusia 18 namun tidak didaftarkan sehinggalah Januari tahun berikutnya.

Laman web Perancis Mediapart, memetik dokumen daripada Football Leaks, melaporkan bahawa FIFA memantau 19 pemain yang dibawa masuk Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 7:39 PM