SAFEE Sali (dua dari kiri) mengasak pertahanan Kedah pada aksi Liga Super 2019 di Stadium MBPJ. -Foto BERNAMA
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


PETALING JAYA: Kedah mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super apabila berjaya menumpaskan PJ City 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Percaturan jurulatih Singapura, Aidil Shahrin Sahak terus membuahkan hasil walaupun PJ City kali ini diperkuatkan dengan bekas penyerang kebangsaan Safee Sali.

Kedah membuktikan kehebatan mereka selaku antara pasukan digeruni musim ini apabila membuka jaringan seawal minit ketujuh melalui tandukan Syahrul Azwari Ibrahim selepas menerima hantaran luar petak penalti dari ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Tersentak dengan gol awal berkenaan, tuan rumah mula melancarkan serangan berbahaya namun percubaan dari luar petak penalti oleh Aizulridzwan Razali tersasar keluar.

Sedang PJ City rancak menyerang Kedah melakukan serangan balas pantas pada minit ke-40 dan ia membuahkan hasil apabila Fernando Rodriguez yang tidak dikawal melepaskan rembatan menumpaskan penjaga gol, Muhaimin Mohamad selepas menerima hantaran leret, Jonatan Bauman.

Pada penghujung babak pertama PJ City sekali lagi mempunyai peluang untuk menjaringkan gol bagaimanapun Aizulridzwan gagal manfaatkan hantaran lintang R Barathkumar.

Sebaik bersambung babak kedua Kedah tidak menunggu lama untuk terus memberi tekanan kepada PJ City apabila pada minit ke-53 mereka hampir menambah gol ketiga, tapi tandukan Rodriguez sedikit tersasar hasil hantaran lambung Bauman.

Pasukan pelawat dihadiahkan sepakan percuma di depan petak penalti PJ City pada minit ke-63 namun sepakan yang diambil Baddrol menuju tepat ke dakapan Muhaimin.

Baddrol sekali lagi memiliki peluang yang hampir sama pada minit ke-85 namun sepakannya berjaya ditepis keluar Muhaimin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 11:41 PM