KPAH Sean (kiri) dihalang pemain PKNP FC, Amani Manual Aquinaldo. FOTO Supian Ahmad
Zulfaizan Mansor


SELEPAS membelasah pasukan Selangor minggu lalu, PKNS FC terus mempamerkan taring apabila menjadikan PKNP FC pula sebagai mangsa kedua dalam saingan Liga Super musim ini.

Jaringan tunggal Kpah Sherman seawal minit kedua perlawanan itu sudah cukup buat anak buah Datuk K Rajagobal mengatasi PKNP 1-0 dalam saingan yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam ini.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut diraih skuad Semut Merah musim ini selepas mengecapi kemenangan pertama ketika membelasah Selangor 4-0 di gelanggang sama, Ahad lalu.

Malah, kemenangan itu pasti melegakan kem PKNS terutama Rajagobal selepas permulaan kurang konsisten anak buahnya apabila seri 1-1 dengan Terengganu sebelum tewas 0-1 kepada Melaka United dalam dua aksi awal musim ini.

PKNS kini berada di kedudukan keempat liga dengan menghimpun tujuh mata keseluruhan selepas mengharungi empat perlawanan.

Skuad Semut Merah seterusnya akan mengharungi aksi lebih sukar apabila akan berdepan pendahulu liga, Kedah di Stadium Darul Aman pada 2 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 1:22 AM