GELAGAT Belinda bersama trofi kejuaraan di Dubai. - FOTO Agensi.
AFP

BELINDA Bencic menewaskan Petra Kvitova 6-3, 1-6, 6-2 untuk memenangi Kejohanan Tenis Dubai dan berhasrat untuk meraikan kejayaan itu dengan melakukan terjunan payung udara pertama buatnya.

“Kami bersetuju jika saya memenangi gelaran seterusnya, kami akan melakukan terjunan udara,” kata pemain dari Switzerland itu selepas mengakhiri kemarau trofi selama empat tahun menurutnya rancangan itu mungkin tidak disukai bapa dan jurulatihnya, Ivan.

“Ia mungkin lucu, kerana ayah saya takutkan ketinggian.”

Kali terakhir pemain berumur 21 tahun itu memenangi gelaran adalah di Toronto pada 2015 sebelum bekas pemain nombor tujuh dunia itu dihantui dengan beberapa siri kecederaan belakang dan pergelangan tangan.

Gelaran diraih semalam adalah ketiga dalam kariernya yang bakal melonjakkan kedudukannya ke tangga 23 dunia daripada kedudukan 45 sekarang.

Kejayaan ke atas Petra adalah kemenangan keempat berturut-turut Belinda minggu ini di Kelab Aviation.

“Ini mengagumkan, saya tak mempercayainya,” kata Belinda. “Ia satu penghormatan berada di gelanggang bersama Petra, juara yang hebat.”

Belinda mudah mencatat mata kemenangan pada set pembukaan sebelum disekat pada set kedua apabila lawannya yang juga dua kali juara Wimbledon kembali bangkit. Set ketiga sama seperti tiga perlawanan akhir Belinda di Dubai yang menjadi penentu kemenangan.

“Tidak banyak yang boleh saya lakukan, Petra bermain sangat pantas, jadi saya perlu melakukan yang sama,” kata Belinda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 1:04 PM