NICOL beraksi pada Kejohanan Dunia terakhir buatnya sebelum bersara. — FOTO Facebook PSA World Tour
BERNAMA

RATU skuasy negara Datuk Nicol David mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia PSA selepas menewaskan pemain Mesir, Menna Nasser pada pusingan pertama di Chicago, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Pemain berusia 35 tahun dari Pulau Pinang yang juga juara dunia lapan kali mengambil masa 21 minit menundukkan Menna 11-3, 11-6, 11-3, menurut laman web rasmi kejohanan itu.

Nicol, pilihan ke-13 kejohanan, akan berdepan pilihan ke-24, Millie Tomlinson dari England pada aksi pusingan kedua, awal pagi esok.

Cabaran sebenar Nicol sekiranya mara ke pusingan seterusnya adalah pilihan kelima, Camille Serme dari Perancis yang pernah menewaskannya beberapa kali.

RACHEL (kiri) tewas kepada pemain Mesir, Nour El Tayeb pada pusingan pertama. — FOTO Facebook PSA World Tour

Nicol mula bertanding pada Kejohanan Dunia 2001 dan memenangi lapan gelaran dunia – gelaran paling banyak dimenangi oleh pemain wanita.

Dia memenanginya pada 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2014.

Baru-baru ini, Nicol mengumumkan akan bersara secara rasmi pada hujung musim 2018-2019 Persatuan Skuasy Profesional (PSA), Jun depan selepas berkecimpung selama 20 tahun dalam sukan itu.

Sementara itu, cabaran pemain negara Low Wee Wern, Rachel Arnold dan tiga pemain lelaki – Ivan Yuen, Nafiizwan Adnan dan Ng Eain Yow berakhir seawal pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 7:31 PM