AKSI Bale mengambil sepakan penalti ketika menentang Levante  di Stadium  Ciutat de Valencia, awal pagi tadi. FOTO Reuters
AKSI Bale mengambil sepakan penalti ketika menentang Levante di Stadium Ciutat de Valencia, awal pagi tadi. FOTO Reuters
Reuters

GARETH Bale yang masuk sebagai pemain gantian tenang menyempurnakan penatli kontroversi ketika Real Madrid menewaskan Levante 2-1 di tempat lawan dalam saingan La Liga awal pagi tadi sekali gus kekal sembilan mata di belakang pendahulu, Barcelona.

Real bertindak garang pada babak pertama tetapi gol pendahuluan hanya hadir pada minit ke-43 menerusi penalti Karim Benzema selepas bola terkena tangan Enis Bardhi yang disahkan VAR (video pembantu pengadil).

Levante yang mengejutkan Real 2-1 di Santiago Bernabeu awal musim ini berjaya me nyamakan kedudukan menerusi Roger Marti pada minit ke-60.

Real pula yang tewas 2-1 di tempat sendiri kepada Girona sebelum ini tampak berkarat di bahagian serangan dan pemain muda Brazil Vinicius Jr sekali lagi mencuri tumpuan berbanding pemain lebih berpengalaman seperti Toni Kroos dan Luka Modric.

Real kemudiannya diberikan sepakan penalti selepas VAR mengesahkan Casemiro dikasari pemain gantian Levante, Cheick Doukoure walaupun dibantah pemain Real.

Penyerang Wales, Bale yang masuk menggantikan Benzema beberapa minit sebelum itu tenang menolak ke sebelah kanan melepasi jangkauan penjaga gol Levante, Aitor Fernandez.

Real kini menduduki tangga ketiga La Liga dengan 48 mata, dua mata di belakang Atletico Madrid yang menewaskan Villarreal 2-0 dan masih jauh di belakang pendahulu, Barca yang menewaskan Sevilla, 4-2 semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 8:29 AM