BOLA rembatan Dybala menerjah gawang Bologna di Stadio Renato Dall'Ara. - FOTO Reuters
AFP

PENDAHULU Serie A, Juventus mengekalkan jurang 13 mata selepas menewaskan Bologna 1-0 di tempat lawan hasil jaringan Paulo Dybala, awal pagi tadi. Pasukan di tangga kedua Napoli pula mudah mengatasi Parma 4-0.

Di Tuscany, Jordan Veretout menjaringkan penalti kontroversi pada minit ke-101 membolehkan Fiorentina mengikat keputusan 3-3 menentang pasukan di tangga ketiga, Inter Milan.

Inter yang sembilan mata di belakang Napoli kini hanya dua mata di hadapan AC Milan yang menduduki tangga keempat selepas menewaskan Empoli 3-0 kelmarin.

Di Turin, Dybala yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-67 muncul wira apabila hantaran Blaise Matuidi dari sebelah kiri di tampan pertahanan lawan, Danilo dan pemain Argentina itu pantas mengambil peluang dengan merembat gol kemenangan.

Napoli mengatasi cabaran kelab pertengahan liga, Parma menerusi jaringan Piotr Zielinski pada minit ke-19 sebelum Arkadiusz Milik meledak sepakan percuma melepasi jangkauan penjaga gol Luigi Sepe.

Milik menambah gol ketiga pada minit ke-73 melalui rembatan cantik hasil kesilapan pemain lawan dan Adam Ounas melengkapkan kemenangan besar Napoli.

"Juve masih jauh di depan tetapi kami mahu beraksi baik menentang mereka di (Stadio) San Paolo," kata Milik yang mempunyai 14 gol musim ini.

"Ya, sukar mengejar tetapi kami perlu terus berusaha dan berharap nasib tidak menyebelahi mereka.”

Juventus berkunjung ke Napoli minggu depan dan mereka tahu keputusan selain kekalahan hampir pasti mengesahkan kejuaraan kelapan liga sebelum menerima kunjungan Ateltico Madrid dalam saingan peringkat kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.

"Kami perlu menghadapi Atletico yang pasti mengamalkan corak bertahan, kami perlu lebih pantas dan hantaran lebih tepat. Bukan seperti hari ini,” kata jurulatih Juve, Massimiliano Allegri.

"Saya yakin kami mampu mara.” Juventus tewas 2-0 di Allianz Stadium dalam saingan peringkat pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 9:14 AM