KECIK (tengah) meraikan jaringan ketika menentang Selangor.

PERASAAN terkilan tidak dapat disembunyikan pemain tengah Pahang, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria selepas skuad itu gagal mencatat kemenangan apabila sekadar seri 1-1 dengan Selangor, kelmarin. 

Lebih menghampakan pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu apabila jaringan pendahuluan pada separuh masa pertama gagal dipertahankan selepas Red Giants berjaya menyamakan kedudukan pada babak kedua. 

"Di sebalik gembira kerana menjaringkan gol pada penampilan pertama dalam skuad utama musim ini, saya terkilan kerana kami gagal mengutip tiga mata di laman sendiri. 

"Selepas ini kami perlu lebih agresif untuk memastikan Pahang kembali meraih tiga mata selepas merekodkan dua kemenangan dan dua seri dalam empat perlawanan," kata bekas pemain Harimau Muda A yang lebih mesra dipanggil Kecik itu. 

Sementara itu, jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh memuji prestasi Wan Zaharulnizam yang bermain cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan. 

Katanya, Wan Zaharulnizam yang menggantikan Nor Azam Azih yang tidak dapat beraksi kerana digantung satu perlawanan mempamerkan aksi terbaik buat skuad Tok Gajah. 

"Saya bangga dengan Zaharulnizam yang bermain baik iaitu penampilan pertama dalam kesebelasan utama termasuk menjaringkan gol buat pasukan," katanya. 

Selepas empat perlawanan, Pahang menduduki tangga ketiga dengan lapan mata di belakang pendahulu Liga Super, Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di tempat kedua, masing-masing mengutip 10 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 12:29 PM