AZIZULHASNI bersama dua rakannya kini berada pada kedudukan ke-12 ranking kelayakan Olimpik.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@mediaprima.com.my


KEJOHANAN Trek Dunia di Poland yang bermula awal pagi Khamis dijangka menjadi detik penting kepada trio pecut negara untuk memastikan mereka berada dalam landasan terbaik ke Olimpik Tokyo.

Trio negara yang dibarisi Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis kini berada pada kedudukan ke-12 ranking kelayakan Olimpik bagi acara pecut berpasukan dengan 1,446 mata.

Mereka jauh ketinggalan kepada Australia yang mendahului dengan 3,815 mata selain dua pencabar dari Asia, Jepun dan China yang berada pada kedudukan ketujuh dan lapan.

Malah kejohanan kali ini yang menawarkan kutipan mata berganda adalah peluang terbaik mereka melonjakkan ranking kerana hanya lapan pasukan terbaik akan terpilih ke Olimpik Tokyo pada tempoh kelayakan tamat pada Februari tahun depan.

Azizulhasni menaruh harapan mereka akan terus mempamerkan peningkatan yang konsisten sejak diturunkan dalam beberapa kejohanan utama.


MUHAMMAD Shah

“Fadhil sudah mula mempamerkan peningkatan dari kayuhan selepas demam denggi di Kejohanan Trek Asia di Jakarta pada Januari lalu.

“Saya berharap kami mampu memecahkan rekod kebangsaan sekali lagi selepas melakukannya di Sukan Asia 2018. Masih banyak ruang perlu diperbaiki dan paling penting terus mempamerkan peningkatan,” kata atlet digelar The Pocketrocketman.

Manakala Shah Firdaus berharap mereka mampu mencapai sasaran untuk mencapai sasaran lapan pasukan terbaik di Poland berdasarkan peningkatan dipamerkan semasa latihan.

Kejohanan Trek Dunia akan bermula dengan acara kejar-mengejar berpasukan pada awal pagi Khamis disusuli trio negara berkenaan dalam pecut berpasukan.

Kali terakhir Malaysia melayakkan diri ke Olimpik menerusi acara pecut berpasukan adalah di Beijing 2008 menerusi Azizulhasni, Josiah Ng dan Mohd Rizal Tisin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 10:48 PM