Penyerang Manchester United Romelu Lukaku menjaringkan dua gol untuk memastikan pasukan itu menewaskan Crystal Palace, 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris pagi ini. FOTO Reuters.
AFP

OLE Gunnar Solskjaer gembira melihat aksi Romelu Lukaku yang beraksi di posisi penyerang tengah kegemarannya apabila tampil menjaringkan dua gol ketika Manchester United mengalahkan Crystal Palace, 3-1.

Lukaku yang diberi tanggungjawab di bahagian sayap beberapa minggu lalu, dengan pengendali sementara Solskjaer gemar memilih Marcus Rashford di bahagian tengah.

Namun ketika Rashford tidak cergas sepenuhnya dan diletakkan dalam senarai pemain simpanan di Selhurst Park, Lukaku pantas menyesuaikan diri dan membalas kepercayaan itu dengan jaringan gol pada setiap babak permainan untuk mencatat kemenangan.

Kemenangan itu mengekalkan rentak tanpa kalah United dalam 11 perlawanan peringkat liga sejak mengambil alih pertengahan Disember.

Solskjaer yang juga bekas penyerang United, tidak meragui kemampuan penyerang antarabangsa Belgium itu walaupun diberi peranan berbeza sekaligus menyaksikan gol pertama pemain itu dalam 10 penampilannya.

“Dia beraksi di bahagian tengah hari ini, kami memberi peluang kepadanya, dia berjaya mengatasi lawan dengan baik,” kata Solskjaer.

Aksi pemain Manchester United dan Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pagi ini. FOTO Reuters.

“Dia sudah melakukan banyak larian ke depan dan bahagian bawah, sayap kanan, sayap kiri, dia mempunyai tugas yang berbeza kerana prestasi yang ditunjukkan Rashford.

“Hari ini dia mempunyai peluang di bahagian serangan, dua penyudah yang baik, dan mampu menambah satu lagi gol pada awal permainan, saya sangat gembira untuk Rom (Lukaku), dia mempunyai penyudah berkualiti.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 12:18 PM