Pemain Arsenal Mesut Ozil meraikan jaringannya ketika Arsenal menewaskan Bournemouth 5-1. FOTO Reuters.
Reuters

PEMAIN Arsenal, Mesut Ozil membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama pasukan itu di Liga Perdana Inggeris pada 2019 dengan menjaringkan gol dan membantu mencipta jaringan ketika menewaskan Bournemouth 5-1 di Stadium Emirates, pagi ini.

Penyerang tengah dari Jerman itu tidak tampil dalam kesebelasan utama Arsenal sejak perlawanan seri 1-1 ketika berkunjung ke Brighton & Hove Albion pada 26 Disember berikutan kecederaan lutut.

Ozil tidak menunggu lama untuk beraksi cemerlang dan menghasilkan jaringan pertama The Gunners ketika permainan baru bermula empat minit.

Ozil yang kurang menjadi pilihan pasukan sejak kehadiran pengurus Unai Emery, sebaliknya membuka laluan kepada Henrikh Mkhitaryan untuk pasukan tuan rumah itu menambah jaringan pada minit ke-27 menewaskan penjaga gol Artur Boruc.

Pemain tengah Matteo Guendouzi sebaliknya memberi harapan kepada Bournemouth apabila gagal mengawal bola dengan baik bagi membolehkan Dan Gosling membuat hantaran kepada Lys Moussett untuk menjaringkan gol mudah menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, pelawat dikejutkan dengan jaringan ketiga Arsenal menerusi Laurent Koscielny seminit perlawanan separuh masa kedua bermula dan Pierre-Emerick Aubameyang menjadikan gol keempat selepas serangan bertali arus untuk sekali lagi menewaskan Boruc.

Pemain gantian, Alexandre Lacazette melengkapkan kemenangan besar Arsenal selepas menjaringkan gol menerusi sepakan percuma 12 minit sebelum tamat sekaligus menyaksikan kekalahan keempat Bournemouth dalam lima perlawanan liga.

Aksi pemain Arsenal, Alexandre Lacazette (kanan) yang menjaringkan gol kelima The Gunners. FOTO AFP.

Ia kemenangan ketiga berturut-turut dalam liga buat pasukan The Gunners, dengan Emery gembira dengan kehadiran Ozil dalam kesebelasan utama dan dia dijangka membuat beberapa pertukaran bagi berhadapan pasukan jiran, Tottenham Hotspur, pada Sabtu ini.

“Dia (Ozil) bagus. Saya fikir dia gembira bersama kami. Saya juga amat berbangga kepada semua pemain, dan sama dengan Mesut (Ozil). Dia membantu kami dengan kualitinya dan kerja, untuk menguruskan dan dia bermain dalam sistem yang berbeza,” kata Emery.

Kemenangan itu bermakna Tottenham, yang kekal di kedudukan ketiga selepas kekalahan 2-0 kepada Chelsea, dengan hanya perbezaan empat mata dengan The Gunners yang menduduki tempat keempat.

Pengurus Bournemouth, Eddie Howe, ketika memberi maklum balas selepas pasukan itu tidak mencatat kemenangan di gelanggang lawan dalam saingan liga sejak Oktober berkata : “Kami menyalahkan diri sendiri dan tidak memberikan aksi sebenar kepada penyokong malam ini. Saya memahami perasaan kecewa mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 1:10 PM