Pemain pasukan Pahang, Nor Azam Azih kembali beraksi bersama pasukan.


PAHANG bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Perak bertemu PKNP FC tanpa tiga tonggak utama, Sabtu ini. 

Mereka ialah dua pemain pertahanan, Muslim Ahmad yang mengalami kecederaan manakala Herold Goulon dan Safuwan Baharuddin, masing-masing digantung satu perlawanan kerana layangan kad merah dan mengutip tiga kad kuning. 

Ketiadaan tonggak utama skuad kendalian Dollah Salleh itu pasti memberi tamparan selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Selangor di Kuantan, Ahad lalu. 

Namun, kembalinya perancang tengah, Nor Azam Azih yang menamatkan penggantungan satu perlawanan ketika dilayang kad merah pada pertemuan dengan Melaka United pada 16 Februari lalu, sudah pasti melegakan Dollah.  Bagi Dollah, dia tidak bimbang dengan situasi yang melanda skuad kendaliannya itu kerana percaya dengan kemampuan pemain lain yang bakal mengisi kekosongan itu.

"Saya perlu percaya dengan kemampuan semua pemain dan tidak boleh terlalu bergantung kepada pemain tertentu sahaja jika mahu membentuk sebuah pasukan yang mantap. 

"Oleh itu, saya harap pemain yang bakal mengisi tempat tiga pemain lain yang tidak boleh beraksi mempamerkan prestasi terbaik untuk mengelak daripada terus keciciran mata.

"Selepas gagal mencatat kemenangan ke atas Selangor Ahad lalu, skuad Tok Gajah perlu kembali meraih kemenangan untuk bersaing dengan Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 2:58 PM