PENYERANG Perlis, Safee Sali (kanan) diasak pemain UITM FC, Faizal Arif pada aksi Liga Perdana di Stadium UITM, baru-baru ini. — FOTO Luqman Hakim Zubir
Syazwan Msar


SEMUA keputusan perlawanan membabitkan Perlis dalam Liga Perdana sebelum ini terbatal sekali gus tiada sebarang mata diberikan kepada pasukan yang menang atau seri.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan badan pentadbir Liga Malaysia itu terus konsisten dalam membuat keputusan yang mana ahli lembaga pengarah turut membatalkan semua perlawanan Liga Perdana membabitkan Kuantan FA selepas kelab itu dibatalkan penyertaan tahun lalu.

“Semua jaringan gol, jumlah mata dan jumlah perlawanan yang sudah berlangsung membabitkan Perlis akan dikira kosong.

“Namun, kesalahan organisasi teknikal perlawanan, perkara tatatertib termasuk pengumpulan kad kuning dan perintah keluar padang atau kad merah dikekalkan serta berkuatkuasa seperti biasa.

“Untuk makluman, Perlis akan dikeluarkan daripada senarai jadual perlawanan serta kedudukan liga. Ini bermakna hanya 11 pasukan saja bertanding hingga hujung musim ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, harapan untuk melihat Perlis kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019 musnah apabila rayuan PFA ditolak MFL, malam tadi.

Keputusan sebulat suara itu sekali gus menyaksikan Singa Utara tiada lagi dalam kalendar perlawanan Liga M dan peminat Perlis boleh menunggu tahun depan untuk berbuat demikian.

Penolakan rayuan itu disebabkan dokumen rayuan yang dikemukakan tidak memenuhi kehendak yang ditetapkan.

Sebelum dibatalkan penyertaan, Perlis sempat beraksi tiga kali dalam Liga Perdana, menang sekali dan kalah dua kali. Mereka mengalahkan UiTM FC namun tewas kepada JDTII dan UKM FC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 7:29 PM