ARIYA terikat dengan empat pemain selepas hari pertama di Singapura. — FOTO AFP
AFP

PEMAIN nombor satu dunia Ariya Jutanugarn berkongsi sebagai pendahulu pusingan pertama dengan empat pemain pada Kejuaraan Wanita Dunia HSBC hari ini ketika juara bertahan Michelle Wie menarik diri kerana cedera tangan.

Pemain Australia, Minjee Lee, Yu Li dari China, pemain Amerika Syarikat, Amy Olson dan Celine Boutier dari Perancis terikat dengan Ariya dengan empat bawah par 68, namun ia hari yang malang di Singapura buat Michelle dan Amy Yang.

Amy, yang menang pada LPGA Thailand minggu lalu, hanya berakhir tiga lubang sebelum menarik diri kerana selesema, manakala impian Michelle mempertahankan kejuaraan turut berkubur.

Pemain AS berusia 29 tahun itu hanya kembali beraksi minggu lalu selepas pembedahan pergelangan tangan namun dia bergelut dengan 10 atas par selepas 14 lubang, termasuk satu double bogey disusuli dengan triple bogey sebelum memutuskan menarik diri.

Tiada butiran lanjut diberikan mengenai kecederaan tangan itu dan Michelle tidak bercakap kepada wartawan ketika dia meninggalkan lapangan par-72 Sentosa Golf Club.

Sementara itu, Ariya berkata, kejayaannya muncul pendahulu bersama disebabkan permusuhan adik-beradik. Ketika tiga bawah par dengan berbaki dua lubang, dia terikat di tangga kedua bersama kakaknya Moriya.

“Saya nampak catatannya,” jelas Ariya. “Jadi saya mahu melakukan birdie.”

Pemain berusia 23 tahun itu jelas berjaya dengan dua pukulan pada lubang ke-17 par-tiga dan kemudian par pada lubang terakhir untuk menamatkan aksi dengan catatan tanpa bogey 68.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 10:57 PM