KOMEN netizen di laman sosial.
KOMEN netizen di laman sosial.
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR :Ibarat menghina pemain yang sudah banyak berjasa kepada bola sepak negara.

Itu antara komen pedas netizen yang rata-rata terkejut apabila mengetahui trofi Kasut Emas untuk penjaring terbanyak Liga Malaysia (Liga M) kurang berkualiti dan tidak tahan lama.

Malah ada antara pelawat laman sosial Facebook Harian Metro berharap pihak berkaitan mengambil contoh penganjuran anugerah lain yang memastikan trofi kepada pemenang berkualiti dan tahan lama untuk jangka panjang.

Menerusi kaji selidik yang dijalankan Harian Metro ‘Wajarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menaik taraf kualiti anugerah itu supaya lebih berprestij?’ mendapati 86 peratus netizen bersetuju trofi kepada penjaring terbanyak itu ditambah baik segera.

Cuma 14 peratus saja yang beranggapan trofi Kasut Emas perlu dikekalkan seperti sebelum ini atau tiada pembaharuan perlu dilaksanakan.

Malah ada antara netizen yang mahu trofi Kasut Emas bukan saja dinaik taraf pada masa depan, malah trofi yang rosak kepada pemenang lalu diganti baharu.

Individu yang menggunakan nama iLLi Fadli itu berkata, jika MFL tidak ‘berkemampuan’ menggantikan trofi yang rosak, cukuplah menaik taraf trofi pada masa depan supaya isu sama tidak berulang.

Nur Muhammad pula mahu pemenang menerima trofi berkualiti berikutan pemain terbabit sudah mengerah tenaga untuk mencipta kejayaan sekali gus dinobatkan sebagai penjaring gol terbanyak.

Sebelum ini, akhbar ini mendedahkan kualiti trofi Kasut Emas Anugerah Bolasepak Kebangsaan boleh dipertikaikan berikutan ada yang sudah rosak kerana ia hanya but bola biasa yang disembur warna keemasan untuk dihadiahkan kepada penjaring gol terbanyak liga.

Antara pemenang Kasut Emas yang tidak bernasib baik ialah Mohd Nizaruddin Yusof, Mohd Ashari Samsudin dan Haris Safwan Kamal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:30 AM