Jurulatih Pahang, Dollah Salleh tidak mahu pasukannya tercicir mata.


DOLLAH Salleh tidak mahu skuad Pahang tercicir tiga mata apabila bertemu PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Perak malam esok.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, beraksi di tempat lawan bukan alasan untuk gagal mengutip tiga mata selepas seri dengan Selangor, pada 24 Februari lalu.

"Kami tidak boleh kehilangan tiga mata di tempat lawan tetapi perlu berwaspada dengan prestasi tuan rumah yang mampu memberikan tekanan. 

"Saya harap pemain dapat memanfaatkan segala peluang yang ada kerana tidak mahu juang mata dengan pendahulu Liga Super, Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) terlalu jauh.

"Ketiadaan tiga pemain utama dalam skuad ini juga diharap tidak mengganggu rentak permainan kerana semua pemain mempunyai kelebihan dan mampu membantu pasukan meraih kejayaan," katanya.


Dollah Salleh (tengah) memberi kata-kata semangat kepada pemain selepas latihan. FOTO NSTP

Pada perlawanan malam esok, skuad Tok Gajah tidak dapat menurunkan tiga pemain iaitu Muslim Ahmad, Herold Goulon serta pemain tengah, Safuwan Baharuddin kerana dihimpit masalah kecederaan dan penggantungan.

Selepas empat perlawanan, Pahang kini menghuni tangga ketiga dengan lapan mata manakala Kedah dan JDT berkongsi 10 mata, masing-masing di tangga teratas dan kedua liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 3:24 PM